Effact mekap

Effact mekap
Rm150 sekali mekap

mekap effect ganas

mekap effect ganas
BUAH CEMPEDAK DILUAR PAGAR, AMBIL GALAH TOLONG JOLOKKAN, SAYA TERUNA BARU BELAJAR , JIKALAU SALAH GUNA TOLONG TUNJUKKAN...HEHE

Friday 20 July 2012

Teks Khubah jumaat 20 JULAI 2012 / 30 SYAABAN 1433H





Jabatan Kemajuan Islam Malaysia


 PERSEDIAAN MENYAMBUT RAMADHAN


(20 JULAI 2012 / 30 SYAABAN 1433H)






Muslimin Yang di Rahmati Allah,


Di kesempatan berada pada hari Jumaat dan pada di akhir bulan Syaaban  yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya dan kepada sidang Jumaat sekalian marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita memperolehi keberkatan dan keredhaan serta perlindungan Allah SWT di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah bertajuk: PERSEDIAN MENYAMBUT RAMADHAN ”.


Muslimin Yang di Rahmati Allah,


Kita berada pada hari terakhir bulan Syaaban. Esok insyallah kita akan menyambut awal Ramadhan. Dalam sedar ataupun tidak, kita semakin mendekati bulan yang penuh kebaikan, keberkatan dan kerahmatan . Bulan yang mulia ini merupakan masa gembira kepada orang yang beriman  kerana pada setiap saat dilimpahkan pahala yang berganda-ganda melebihi ganjaran yang biasa. Hari-hari dalam bulan Ramadhan adalah hari penuh ganjaran, malam-malamnya adalah malam yang penuh dengan keberkatan. Setiap saat adalah peluang-peluang yang paling utama untuk menyucikan diri dan mendapat pahala daripada Allah SWT. Apabila datangnya bulan yang mulia ini maka Rasulullah SAW berdoa sebagai tanda kegembiraannya untuk menyambut Ramadhan . Sabda Rasulullah SAW:




Maksudnya: Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab dan Sya’ban dan sampaikan kami ke bulan Ramadhan. (Riwayat. Ahmad dan Tabrani)





Diriwayatkan juga dari Abu Hurairah RA: Bahawa sesungguhnya Rasulullah SAW. pernah bersabda: Ketika datang bulan Ramadhan: Sungguh telah datang kepadamu bulan yang penuh berkat, diwajibkan atas kamu untuk puasa, dalam bulan ini pintu syurga dibuka, pintu neraka ditutup, Syaitan-Syaitan dibelenggu. Dalam bulan ini ada suatu malam yang nilanya sama dengan seribu bulan, maka barangsiapa diharamkan kebaikannya ( tidak beramal baik didalamnya), sungguh telah diharamkan (tidak mendapat kebaikan di bulan lain seperti di bulan ini).


 ( Riwayat: Imam Ahmad )


          Kelebihan bulan Ramadhan daripada bulan- bulan yang lain kerana difardhu padanya ibadah puasa. Firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 183,




Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa”.





Muslimin Yang di Rahmati Allah,


Sebenarnya terlalu banyak persediaan yang patut kita lakukan menjelang Ramadhan. Antaranya ialah: Pertama: Persediaan ilmu agama. Ramai orang yang berpuasa tanpa ilmu di dada, di khuatiri ibadah yang diharapkan mendapat pahala sebaliknya tidak diterima. Menjelang Ramadhan, kita diseru meluangkan masa menuntut ilmu agama. Sama ada dengan cara membaca buku, menghadiri kuliah-kuliah agama atau media massa. Perkara yang perlu diberi keutamaan ialah berkaitan dengan ibadah puasa seperti rukun, syarat sah, perkara yang membatalkan puasa, adab dan juga akhlak orang berpuasa. Hal ini begitu penting untuk mendapat kesempurnaan ibadah puasa.


 Kedua: Persediaan kesihatan. Kesihatan tubuh badan yang sempurna menjamin kesempurnaan ibadah puasa. Kecerdasan seluruh anggota badan diperlukan kerana pada bulan Ramadhanlah tubuh badan dikerah bekerja kuat melaksanakan segala amalan seperti solat sunat tarawih, qiamullail, membaca al-Quran, iktikaf dan sebagainya.Ketiga: Persediaan dari sudut kewangan. Di antaranya ialah dengan bersedekah. Rasulullah SAW merupakan seorang yang paling suka bersedekah dan dermawan serta Baginda lebih dermawan di dalam bulan Ramadhan. Hal ini diceritakan oleh Ibnu Abbas RA: “Rasulullah SAW ialah orang yang paling dermawan. Dan beliau lebih dermawan lagi di bulan Ramadhan di saat beliau  bertemu Jibril. Jibril menemuinya setiap malam untuk mengajarkan Al- Quran. Dan kedermawanan Rasulullah SAW melebihi angin yang berhembus. (Riwayat al-Bukhari)


Keempat: Memperbanyakkan menyebut hal berkaitan kelebihan dan kemuliaan Ramadhan. Kita dituntut memperbanyakkan bercerita tentang kemuliaan bulan Ramadhan. Perkara  ini bertujuan memberi rangsangan dan semangat kepada kita bagi membuat persediaan bertemu Ramadhan. Bukankah sesuatu acara itu akan menjadi lebih meriah dan suasananya dapat dirasai jika senantiasa diwar-warkan. Apatah lagi bulan yang begitu mulia ini sepatutnya lebih layak disebut-sebut kemulian dan ganjarannya oleh media massa, media elektronik dan seluruh umat Islam.


Muslimin Yang di Rahmati Allah,


Kita adalah makhluk ciptaan Allah yang tidak dapat lari daripada melakukan kesalahan sama ada dosa besar atau kecil. Sebagai makluk ciptaan-Nya, maka Allah SWT Maha mengetahui cara dan kaedah yang sesuai untuk membaiki, membaik pulih dan mempertingkatkan iman dan akhlak manusia. Selari dengan kelemahan makhluk-Nya itu, maka Allah menawarkan kepada umat Islam bulan Ramadhan dengan keampunan dan pahala yang berganda serta mengembalikan fitrah akhlak manusia. Rasulullah SAW  bersabda:




Maksudnya: “Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran pahala nescaya diampunkan baginya segala dosa yang terdahulu”(Riwayat Bukhari)





          Oleh itu, menjelang Ramadhan ini, para jemaah sekalian diseru memberi tumpuan kepada tawaran daripada Allah SWT, bukannya terpengaruh dengan promosi-promosi produk dan barangan- barangan tertentu yang dikaitkan dengan Ramadhan. Ibadah Puasa yang dilakukan dengan sempurna mampu mengawal segala kemaksiatan dunia dan dapat mendidik jiwa menjadi lebih tenang dan membentuk diri menjadi seorang hamba yang bertakwa kepada Allah SWT. Ketika berpuasa kita bukan sahaja menahan diri dari keinginan makan dan minum malahan segala nafsu  seluruh anggota badan kita seperti mulut, mata, hati dan kemaluan juga hendaklah turut berpuasa. Kita juga dituntut memperbanyakkan amal ibadah dan bertaubat di atas dosa-dosa yang dilakukan  dengan mengisi ruang-ruang yang ada bagi meningkatkan keimanan kepada Allah SWT didalam usaha mencari keredhaannya. Firman Allah SWT di dalam surah an-Nuur ayat 31:




Maksudnya: “ dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang yang beriman, supaya kamu berjaya.





Muslimin Yang di Rahmati Allah,


Mimbar menyeru, marilah kita sama-sama membuat persedian dengan sebaiknya untuk bertemu dengan Ramadhan pada kali ini. Ambillah kesempatan dengan apa yang telah dijanjikan oleh Allah SWT sepanjang bulan Ramadhan dengan menjana kekuatan jati diri kita untuk beribadat kepada-Nya. Bulan impian ini merupakan anugerah Allah SWT kepada hamba-Nya yang hanya datang setahun sekali. Penuhilah ruang dan masa dengan melakukan perkara-perkara yang membawa kebaikan kerana mungkin bagi tahun yang mendatang kita tidak merasainya lagi. Mimbar juga mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak kepimpinan negara khususnya kepada YAB Perdana Menteri di atas sumbangan kepada masjid dan surau di seluruh negara bersempena dengan Majlis Perhimpunan Perdana Warga Iman dan Jawatankuasa Masjid Seluruh Negara pada 19 Julai 2012. Semoga dengan sumbangan ini akan mengimarahkan lagi masjid dan surau di dalam bulan Ramadhan ini. Mengakhiri khutbah marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah an-Nahl ayat 97:


Maksudnya: Sesiapa yang beramal salih, dari lelaki atau perempuan sedang ia beriman, maka sungguh Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka, dengan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan”.





TEKS KHUTBAH JUMAAT JAKIM 13 JULAI 2012 - Simpanan



Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

  “AL-QURAN PEMACU TRANSFORMASI UMMAH WASATIYYAH ”                                                              

(13 JULAI 2012 / 23 SYA,BAN 1433H)




Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Di kesempatan berada pada hari Jumaat dan pada bulan Syaaban yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya dan kepada sidang Jumaat sekalian marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita memperolehi keberkatan dan keredhaan serta perlindungan Allah SWT di dunia dan di akhirat. Bersempena dengan Majlis Tilawah Peringkat Antarabangsa yang berlangsung di PWTC pada minggu ini, maka mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah bertajuk: AL-QURAN PEMACU TRANSFORMASI UMMAH WASATIYYAH ”.



Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Nabi kita Muhammad SAW adalah seorang Rasul yang telah menyelesaikan segala permasalahan ummah dan telah menyempurnakan tanggungjawab sewaktu hayat Baginda dengan meninggalkan dua khazanah yang amat berharga sebagai panduan hidup iaitu al-Quran dan sunnahnya. Kitab wahyu yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Rasul-Nya ini dipenuhi mukjizat dan keagongan yang tiada tolak bandingnya dengan kitab-kitab yang lain dan tiada keraguan tentang kebenarannya. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 2 dan 3:


Maksudnya:Kitab Al-Qur'an ini, tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertakwa. Iaitu orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan sembahyang, serta membelanjakan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka.



Al-Quran sebagai kitab perlembagaan dan panduan bagi kehidupan manusia, bukan sekadar mengandungi hukum hakam, bahkan ianya memberi panduan mengenai adab dan peraturan sebagai hamba Allah SWT. Sejarah telah membuktikan bahawa al-Quran sebagai pemacu bagi penyatuan ummah yang berkeupayaan tinggi membentuk dan melahirkan satu generasi yang kuat dan bertamadun. Justeru, al-Quran sebagai pemacu tranformasi ummah wasatiyyah memberi isyarat yang besar bahawa dengan kita kembali kepada al-Quran mampu menjana ketamadunan ummah yang unggul dan modal insan yang berkualiti serta dapat melahirkan khaira ummah dalam sebuah baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Ummah Wasatiyyah adalah merujuk kepada ummah yang melaksanakan segala tuntutan Islam secara berhikmah, berimbang bagi menentukan tidak berlaku kekerasan, kezaliman tetapi pada yang sama Islam terus dihargai atau dimartabatkan. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 143:


Maksudnya: Dan demikianlah Kami jadikan kamu satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia dan Rasulullah pula akan menjadi saksi kebenaran perbuatan kamu.



Berdasarkan ayat ini, Ummatan wasata telah diterjemahkan sebagai umat pertengahan iaitu ummah yang adil, tidak berat sebelah dalam hal dunia dan akhirat sekaligus seimbang dalam seluruh aspek kehidupan. Ia mengambarkan umat Islam yang telah di jelaskan oleh Allah SWT sebagai manusia yang adil dan boleh menjadi saksi terhadap seluruh perbuatan manusia. Mengikut pandangan Sayyed Qutb, “ Umat Islam adalah umat yang adil dalam segala erti keadilan sama ada keadilan dengan erti kebaikan dan kelebihan atau keadilan dengan erti kesederhanaan atau dengan ertinya yang  fizikal, iaitu berada di tengah-tengah”.

Justeru, Umat Islam dituntut untuk mengseimbangkan antara rohani dan jasmani dan antara dunia dan akhirat. Sifat kesederhanaan dan keseimbangan ini sangat penting bagi orang yang beriman. Bagaimanapun mimbar ingin menegaskan bahawa kesederhanaan ini haruslah diterjemahkan secara positif, terutamanya dalam meletakkan kedudukan umat Islam di dalam dunia global, teknologi dan ilmu serta di dalam persaingan ekonomi dan juga dalam membina tamadun dan risalah atau misi Islam itu sendiri.

Ingatlah bahawa kesederhanaan yang diamalkan di dalam Islam adalah bermatlamat mencari kebenaran atau al-Haq. Dalam menuju ke arah kebenaran pastinya memerlukan roh kesederhanaan dan keseimbangan yang jitu. Bersikap sederhana bukan bermaksud mengambil mudah akan sesuatu perkara dan hanya berserah kepada takdir dan nasib untuk menentukan segalanya tetapi ianya lahir daripada ilmu dan prinsip yang benar serta mampu bertolak ansur. Perkara ini tidak mungkin akan dapat di capai melainkan dengan kita kembali kepada ajaran sunnah Rasulullah dan al-Quran al-Karim. Umat Islam sebagai ummah unggul menuntut kebijaksanaan yang tinggi dalam menyusun kehidupan. Harus diingat sekali lagi bahawa dalam usaha melakukan tranformasi  ianya memerlukan satu perubahan atau tajdid. Perubahan dalam kehidupan mestilah  mampu membebaskan umat Islam dari belenggu kebekuan yang bersifat tradisi. Percayalah bahawa Allah SWT tidak akan merubah sesuatu kaum tersebut selagi kita tidak melakukan perubahan pada diri sendiri. Ini adalah undang-undang dan sunnah yang telah ditetapkan oleh Allah SWT sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Ra’d ayat 11:

Maksudnya: Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila dikehendaki oleh Allah keburukan kepada sesuatu kaum, maka tidak ada yang dapat menolak, dan tidak ada pelindung bagi mereka selain daripada-Nya.



Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Sebagai ummah yang beriman maka sewajarnya al-Quran dijadikan panduan dan sumber rujukan yang utama dalam apa juga kegiatan hidup samada dari sudut akidah, syariat dan akhlak khususnya dalam menangani pelbagai permasalahan, cabaran semasa untuk mencapai kehidupan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Justeru, mimbar menyeru marilah sama-sama kita menjadikan al-Quran sebagai budaya dan acuan kehidupan. kita mesti yakin bahawa al-Quran sahajalah yang mampu menjadi ubat dan penawar kepada segala jenis penyakit samada rohani atau jasmani yang sedang melanda masyarakat masa kini. Ingatlah bahawa tuntutan qurani ini telah berjaya membebaskan ummah dari kegelapan jahiliah kepada cahaya keimanan dan kemuliaan insan. Penghayatan kepada prinsip dan dasar-dasar al-Quran merupakan eleman penting bagi menjamin kesejahteraan dan kemakmuran sesebuah negara.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Mengakhiri khutbah pada minggu ini, mimbar mengambil kesempatan dengan sempena dengan majlis tilawah al-Quran peringkat antarabangsa kali ke 54 yang diadakan di dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra  Kuala Lumpur mimbar menyeru para jamaah sekalian marilah sama-sama kita membudayakan al-Quran dalam kehidupan. Didiklah ahli keluarga dan anak-anak agar menjadi orang yang mencintai al-Quran. Memprogramkan penghayatan al-Quran dalam keluarga terutama kepada anak-anak dengan membaca, mempelajari dan mentadabbur al-Quran.  Mengambil usaha dengan menghantar anak-anak ke kelas pengajian al-Quran samada di surau dan masjid atau di kelas yang telah disediakan. Insyaallah dengan cara ini akan menjadikan mereka generasi yang terdidik dengan al-Quran dan menjadi ummah yang cemerlang di dunia dan akhirat. Mimbar juga mengambil kesempatan Bersempena dengan Minggu keselamatan dan kesihatan Pekerja yang ditetapkan pada minggu ke 2, bulan Julai setiap tahun, menyeru kepada jemaah dan umat Islam sekalian khususnya kepada para pekerja agar senantiasa menerapkan amalan budaya kerja selamat dan sihat semasa melaksanakan tugas dan tanggungjawab. Ingatlah nyawa dan kesihatan adalah anugerah Allah SWT yang tidak ternilai yang perlu dipelihara dengan sebaik mungkin. Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalm surah al-Israa ayat 45:


Maksudnya: Dan apabila kamu membaca Al-Qur'an, Kami jadikan antaramu dan orang yang tidak beriman kepada hari akhirat itu, suatu dinding yang tertutup.