Jabatan Kemajuan
Islam Malaysia
“AL-QURAN PEMACU TRANSFORMASI UMMAH
WASATIYYAH ”
(13 JULAI 2012 / 23 SYA,BAN 1433H)
Muslimin
Yang di Rahmati Allah,
Di kesempatan berada pada hari Jumaat dan pada bulan
Syaaban yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya dan kepada sidang Jumaat
sekalian marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT
dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan
segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita memperolehi keberkatan dan
keredhaan serta perlindungan Allah SWT di dunia dan di akhirat. Bersempena
dengan Majlis Tilawah Peringkat Antarabangsa yang berlangsung di PWTC pada
minggu ini, maka mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah bertajuk: “AL-QURAN PEMACU TRANSFORMASI UMMAH WASATIYYAH ”.
Muslimin
Yang di Rahmati Allah,
Nabi kita Muhammad SAW adalah seorang Rasul yang telah
menyelesaikan segala permasalahan ummah dan telah menyempurnakan tanggungjawab
sewaktu hayat Baginda dengan meninggalkan dua khazanah yang amat berharga
sebagai panduan hidup iaitu al-Quran dan sunnahnya. Kitab wahyu yang diturunkan oleh Allah
SWT kepada Rasul-Nya ini dipenuhi mukjizat dan keagongan yang tiada tolak
bandingnya dengan kitab-kitab yang lain dan tiada keraguan tentang kebenarannya.
Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 2 dan 3:
Maksudnya: “Kitab Al-Qur'an ini, tidak ada keraguan
padanya; petunjuk bagi mereka yang bertakwa. Iaitu orang yang beriman kepada
perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan sembahyang, serta membelanjakan
sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka.”
Al-Quran sebagai kitab perlembagaan
dan panduan bagi kehidupan manusia, bukan sekadar mengandungi hukum hakam,
bahkan ianya memberi panduan mengenai adab dan peraturan sebagai hamba Allah
SWT. Sejarah telah membuktikan bahawa al-Quran sebagai pemacu bagi penyatuan
ummah yang berkeupayaan tinggi membentuk dan melahirkan satu generasi yang kuat
dan bertamadun. Justeru, al-Quran sebagai pemacu tranformasi ummah wasatiyyah
memberi isyarat yang besar bahawa dengan kita kembali kepada al-Quran mampu
menjana ketamadunan ummah yang unggul dan modal insan yang berkualiti serta
dapat melahirkan khaira ummah dalam sebuah baldatun tayyibatun wa
rabbun ghafur.
Muslimin
Yang di Rahmati Allah,
Ummah Wasatiyyah adalah merujuk kepada ummah
yang melaksanakan segala tuntutan Islam secara berhikmah, berimbang bagi
menentukan tidak berlaku kekerasan, kezaliman tetapi pada yang sama Islam terus
dihargai atau dimartabatkan. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 143:
Maksudnya: “Dan
demikianlah Kami jadikan kamu satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu
layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia dan Rasulullah
pula akan menjadi saksi kebenaran perbuatan kamu.”
Berdasarkan ayat ini, Ummatan
wasata telah diterjemahkan sebagai umat pertengahan iaitu ummah yang adil,
tidak berat sebelah dalam hal dunia dan akhirat sekaligus seimbang dalam
seluruh aspek kehidupan. Ia mengambarkan umat Islam yang telah di jelaskan oleh
Allah SWT sebagai manusia yang adil dan boleh menjadi saksi terhadap seluruh
perbuatan manusia. Mengikut pandangan Sayyed Qutb, “ Umat Islam adalah
umat yang adil dalam segala erti keadilan sama ada keadilan dengan erti
kebaikan dan kelebihan atau keadilan dengan erti kesederhanaan atau dengan
ertinya yang fizikal, iaitu berada di
tengah-tengah”.
Justeru, Umat Islam dituntut untuk mengseimbangkan
antara rohani dan jasmani dan antara dunia dan akhirat. Sifat kesederhanaan dan
keseimbangan ini sangat penting bagi orang yang beriman. Bagaimanapun mimbar
ingin menegaskan bahawa kesederhanaan ini haruslah diterjemahkan secara
positif, terutamanya dalam meletakkan kedudukan umat Islam di dalam dunia
global, teknologi dan ilmu serta di dalam persaingan ekonomi dan juga dalam
membina tamadun dan risalah atau misi Islam itu sendiri.
Ingatlah bahawa kesederhanaan
yang diamalkan di dalam Islam adalah bermatlamat mencari kebenaran atau al-Haq.
Dalam menuju ke arah kebenaran pastinya memerlukan roh kesederhanaan dan
keseimbangan yang jitu. Bersikap sederhana bukan bermaksud mengambil mudah akan
sesuatu perkara dan hanya berserah kepada takdir dan nasib untuk menentukan
segalanya tetapi ianya lahir daripada ilmu dan prinsip yang benar serta mampu bertolak
ansur. Perkara ini tidak mungkin akan dapat di capai melainkan dengan kita
kembali kepada ajaran sunnah Rasulullah dan al-Quran al-Karim. Umat Islam
sebagai ummah unggul menuntut kebijaksanaan yang tinggi dalam menyusun
kehidupan. Harus diingat sekali lagi bahawa dalam usaha melakukan tranformasi ianya memerlukan satu perubahan atau tajdid.
Perubahan dalam kehidupan mestilah mampu
membebaskan umat Islam dari belenggu kebekuan yang bersifat tradisi. Percayalah
bahawa Allah SWT tidak akan merubah sesuatu kaum tersebut selagi kita tidak
melakukan perubahan pada diri sendiri. Ini adalah undang-undang dan sunnah yang
telah ditetapkan oleh Allah SWT sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Ra’d ayat
11:
Muslimin
Yang di Rahmati Allah,
Sebagai ummah yang beriman maka
sewajarnya al-Quran dijadikan panduan dan sumber rujukan yang utama dalam apa
juga kegiatan hidup samada dari sudut akidah, syariat dan akhlak khususnya
dalam menangani pelbagai permasalahan, cabaran semasa untuk mencapai kehidupan
dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Justeru, mimbar menyeru marilah
sama-sama kita menjadikan al-Quran sebagai budaya dan acuan kehidupan. kita
mesti yakin bahawa al-Quran sahajalah yang mampu menjadi ubat dan penawar
kepada segala jenis penyakit samada rohani atau jasmani yang sedang melanda
masyarakat masa kini. Ingatlah bahawa tuntutan qurani ini telah berjaya
membebaskan ummah dari kegelapan jahiliah kepada cahaya keimanan dan kemuliaan
insan. Penghayatan kepada prinsip dan dasar-dasar al-Quran merupakan eleman
penting bagi menjamin kesejahteraan dan kemakmuran sesebuah negara.
Muslimin
Yang di Rahmati Allah,
Mengakhiri khutbah
pada minggu ini, mimbar mengambil kesempatan dengan sempena dengan majlis tilawah al-Quran
peringkat antarabangsa kali ke 54 yang diadakan di dewan Merdeka Pusat Dagangan
Dunia Putra Kuala Lumpur mimbar menyeru
para jamaah sekalian marilah sama-sama kita membudayakan al-Quran dalam kehidupan. Didiklah ahli
keluarga dan anak-anak agar menjadi orang yang mencintai al-Quran. Memprogramkan penghayatan al-Quran
dalam keluarga terutama kepada anak-anak dengan membaca, mempelajari dan
mentadabbur al-Quran. Mengambil usaha
dengan menghantar anak-anak ke kelas pengajian al-Quran samada di surau dan
masjid atau di kelas yang telah disediakan. Insyaallah dengan cara ini akan
menjadikan mereka generasi yang terdidik dengan al-Quran dan menjadi ummah yang
cemerlang di dunia dan akhirat. Mimbar juga mengambil kesempatan Bersempena
dengan Minggu keselamatan dan kesihatan Pekerja yang ditetapkan pada minggu ke
2, bulan Julai setiap tahun, menyeru kepada jemaah dan umat Islam sekalian
khususnya kepada para pekerja agar senantiasa menerapkan amalan budaya kerja
selamat dan sihat semasa melaksanakan tugas dan tanggungjawab. Ingatlah nyawa
dan kesihatan adalah anugerah Allah SWT yang tidak ternilai yang perlu
dipelihara dengan sebaik mungkin. Marilah sama-sama kita merenung firman Allah
SWT dalm surah al-Israa ayat 45:
Maksudnya: “Dan
apabila kamu membaca Al-Qur'an, Kami jadikan antaramu dan orang yang tidak
beriman kepada hari akhirat itu, suatu dinding yang tertutup. ”