Dalam persediaan menyambut perkahwinan, ternyata ia
menyerlah kemurnian dan keindahan seni budaya sesuatu bangsa itu sendiri.
Kerja-kerja menyiapkan pelamin memerlukan kerjasama yang kadangkala memakan masa
sehingga beberapa hari. Sanak saudara yang berkumpul secara tidak langsung akan
merapatkan lagi ikatan persaudaraan.Namun apa yang menarik lagi ialah penonjolan
artifak dan pelbagai warisan budaya yang menjadi identiti sesuatu masyarakat
itu. Di Nusantara, bahan-bahan yang diciptakan mengandungi unsur-unsur
kebudayaan India, Parsi, Arab, Cina dan sebagainya. Dalam unsur kemajmukan
masyarakat Melayu ini, ternyata pengaruh Hindu dan Islam dalam persiapan
perkahwinan saling mempengaruhi, selain pengaruh barat moden.
Secara
tradisional pelaminan dan perkahwinan menggabungkan unsur-unsur material seperti
pahar, tepak sireh, senjata, dulang, tempat tidur, perhiasan diri, alatan manik dan
sebagainya. Artifak yang menghiasi pelaminan seperti pelbagai jenis tadbir,
hiasan, kelambu, bantal, payung, kipas, tikar dan sebagainya memberi pengertian
tentang khazanah budaya Melayu.
Pelamin Melayu Riau Pelamin
Melayu Riau mempunyai keunikkan dan keistimewaannya yang tersendiri. Riau
sebagai sebuah kerajaaan Melayu sejak yang wujud sejak abad ke-18, mempunyai
banyak persamaan dengan adat di negeri-negeri Semenanjung Malaysia seperti
Melaka dan Johor. Namun demikian, masyarakat Melayu-Riau masih banyak
mengekalkan amalan adat dan aturcara lama sejak zaman-berzaman terutamanya dalam
majlis perkahwinan. Antaranya ialah reka bentuk, corak dan peralatan pelaminan
yang digunakan pada zaman ini.
Pelaminan Melayu-Riau mempunyai lima bilik
atau ruang dan mempunyai nama serta kedudukan yang tertentu iaitu ruang
pelaminan (di tengah-tengah), ruang bergurau (di hujung kanan), ruang menunggu
(di tepi kanan), ruang tidur lelaki (di hujung kiri) dan ruang makan (di tepi
kiri). Panjang setiap ruang ialah di antara 2 hingga 2.5 meter. Kedudukan bilik
atau ruang adalah selari dan memerlukan tempat sepanjang 15 meter. Sementara itu, ruang
pelaminan dianggarkan 3.5 meter dan ruang-ruang lain adalah sepanjang 3 meter.
Ruang pelaminan mempunyai 5 tingkat yang mengambarkan status tertentu. Perlu
diketahui bahawa pelaminan seperti ini adalah khusus bagi orang-orang besar dan
berkedudukan tinggi sahaja.
Terdapat pelbagai jenis warna kain digunakan
bagi menghiasi pelamin seperti tabir dan tempat alas untuk menutupi bahagian
lantai bilik-bilk tersebut yang kebiasaanya dari jenis satin Cina atau baldu.
Manakala kain baldu bertekat perada emas dan dihiasi manik serta cermin
bermotifkan bunga, daun, awan larat dan tumbuh-tumbuhan dijadikan tirai bagi
menghiasi pelamin tersebut. Bagi memeriahkan lagi suasana, katang-katang
berbentuk binatang seperti ayam dan pino-pino berbentuk bunga atau kerawang yang
dihiasi manik-manik berjuntai akan digantungkan. Dihadapan pelamin pula
dibentangkan tikar lambak yang diperbuat dari daun pandan hutan. Panca Puri
iaitu tempat meletak bunga telur setinggi lima tingkat bersama nasi kunyit juga
diletakkan di sisi pelamin sebagai hadiah kepada tetamu. Pelamin Melayu-Riau
turut dihias dengan perhiasan-perhiasan lain yang mempunyai nama-nama khusus
seperti Tangkup Pelamin / Selambayung (Jatuh Kembar), kelambu jatuh cekak Cina,
kelopai (tekap perada emas), kelambu sibak atau kelambu jatuh, pelbagai jenis
tabir; contohnya tabir gulung (tabir jatuh), tangkup pelamin, bantal papan
besar, bantal akad dan bantal sandar, bantal gembong dan bantal alas kaki,
pino-pino, katang-katang, langsir dan sebagainya. Melalui hiasan-hiasan
tersebut, pelamin ini kelihatan menarik dan berseri, secara tidak lansung
menggambarkan keunikkan budaya masyarakat Melayu-Riau.
Sejarah Pakaian
dan Tekstil Melayu Pada milenia pertama masihi, kerajaan Melayu mempunyai
pelbagai hubungan dengan kerajaan-kerajaan di Asia Tenggara, kerajaan China dan
negara-negara yang lebih jauh. Dari tahun 700 sehingga 1000 masihi, kerajaan
Srivijaya Palembang merupakan kuasa anterpot yang sangat kuat yang memperoleh
keuntungan dari
perdagangan antarabangsa. Ia mentadbir pertukaran bahan logam yang berharga dan
hasil-hasil hutan dengan kain kapas dari India, sutera, teh dan porselin dari
China. Hubungan orang Melayu Semenanjung dengan India, China, tamadun-tamadun
tanah besar Asia Tenggara dan kaum-kaum di gugusan kepulauan Indonesia memainkan
peranan penting dalam perkembangan tradisi tekstil dan pakaian orang
Melayu.
Milenia kedua masihi menampakkan pengaruh-pengaruh baru terhadap
Semenanjung, terutama sekali pertukaran pusat pemerintahan kerajaan di Pulau
Jawa, hubungan diplomatik dengan kerajaan China Islam dan bangsa-bangsa Eropah.
Suatu ketika dalam pemerintahan kerajaan Majapahit, Islam mula tersebar ke
Sumatera sedikit demi sedikit. Justeru pedagang-pedagang yang paling gigih waktu
itu terdiri daripada bangsa Arab dan India Muslim. Islam telah bertapak dengan
kuat di entrepot-entrepot di Sumatera.
Pedagang-pedagang Muslim di pantai
utama Pulau Jawa mengalakkan pengeluaran gaya-gaya tertentu untuk pengguna yang
beragama Islam terutama di Sumatera. Mereka bukan sahaja meluaskan pasaran
tekstil juga turut menpengaruhi rupabentuk pada kaligrafi Arab. Pada sudut
sejarah, kain sarung merupakan bentuk pakaian orang Melayu. Lelaki dan perempuan
tidak terkecuali memakai kain yang ringkas ini, asalnya diperbuat dari kain
tenunan tempatan, pelekat India atau bagi majlis istimewa, kain songket dan
limas digunakan.
Menjelang kurun ke 20 Masihi, wanita Melayu memakai kemban dari kain
sarung. Pada hujung tahun 1900 Masihi, Sultan Johor menyifatkan pakaian ini
tidak sesuai mengikut hukum agama Islam jesteru itu baju kurung telah mengambil
tempat.
Dalam kebanyakkan masyarakat Asia Tenggara keturunan dan suku
kaum dikenali melalui jenis kain motif dan pakaian yang dipakai. Jenis kain
tertentu dikhaskan untuk kegunaan majlis adat. Warna-warna tertentu juga turut
dikhaskan pada darjat tertentu misalnya kuning bagi raja-raja
Melayu.
Kebangkitan Islam sebagai ad-din yang telah dilihat sejak
beberapa dekad lalu tentunya membawa perspektif baru terhadap busana Muslim.
Hasil produk budaya dan bangsa ternyata memenuhi keperluan masyarakat yg secara
tidak langsung meluahkan keprihatinan dan falsafah hidup sesuatu
era.
Aksesori Pakaian tradisional biasanya dilengkapi dengan
pelbagai aksesori samada bagi tujuan tertentu mahupun untuk kecantikan diri.
Perhiasan-perhiasan ini semuanya adalah hasil seni pertukangan yang halus
sebagai sebahagian dari warisan kebudayaan Melayu. Ia melambangkan kepekaan
pemikiran, perasaan dan kreativiti yang merangkumi jiwa dan nurani bangsa
itu.
Baju Melayu lelaki dan baju kurung wanita yang mempunyai leher bulat
dengan belah di bahagian hadapan (baju kurung Teluk Belanga) di semat dengan
butang kecil emas berbentuk bulat atau segi empat. Baju kurung cekak musang
berkolar tinggi mempunyai dua butang pada bahagian leher dan tiga atau lima
butang pada bahagian dada.
Baju kebaya labuh pula dikenakan dengan satu set iaitu tiga
keronsang, ibu dan anak keronsang. Yang besar dan berbentuk hampir menyerupai
hati ialah ibu dan yang kecil dan bulat ialah anak.
Samping lelaki pula
dikemaskan dengan tali pinggang emas atau perak lengkap dengan pending. Keris
iaitu senjata Melayu pula disisipkan dalam samping atau bengkong terletak
disisi.
Kebanyakkan wanita Melayu berada, merapikan sanggul rambut mereka
dengan memakai cucuk sangggul emas atau perak. Kebiasaaanya cuma satu atau dua
cucuk sanggul digunakan, tetapi bagi menyambut sesuatu perayaan mereka
menggunakan set dalam bilangan tiga,lima dan tujuh. Gelang tangan dan gelang
kaki lazimnya dipakai sepasang dan ditempa dari emas keping corak
timbul.
Selainnya ialah bekas tembakau hidu dan minyak wangi diperbuat dari
wayar emas yang berkerawang serta bekas tembakau (celapa) emas bertatahkan batu
permata yang digantung ke pinggang dengan rantai.
Selain dari menghias
diri, barang kemas turut dipakai untuk mempamerkan kekayaan pemakainya sesuai
dengan keunggulan sesuatu busana itu.
SEKIAN..
Maklumat dicari oleh: shukor (PRO) - Kelab Askoputra
|